Baju kurung (Jawi:
باجو كوروڠ) ialah pakaian tradisional untuk wanita Melayu. Baju Kurung
terbahagi kepada dua iaitu Baju Kurung Lelaki dan Baju Kurung Perempuan.
Baju Kurung lelaki juga dikenali juga sebagai Baju Melayu. Ia menjadi pakaian rasmi untuk negara Malaysia dan Brunei, juga boleh didapati di Indonesia, Singapura dan Thailand.
Terdapat dua jenis baju kurung iaitu Baju Kurung Teluk Belanga dan Baju
Kurung Cekak Musang. Baju ini sesuai dipakai oleh semua golongan
masyarakat tidak mengira usia. Baju Kurung juga digunakan untuk
menghadiri majlis perkahwinan, majlis agama, dan majlis rasmi. Di
Malaysia, secara amnya seluruh wanita melayu memakai baju kurung sebagai
pakaian tradisi ini termasuk pakaian rasmi pelajar sekolah rendah dan
menengah. Cuma reka bentuk dan potongan baju kurung agak berbeza-beza
mengikut negeri.
Selaras dengan peredaran zaman, kini pelbagai busana rekaan moden
telah muncul dan diterima oleh masyarakat Melayu. Sungguhpun pada
umumnya kita telah menerima pengaruh moden dalam pakaian harian, namun
baju kurung tetap menjadi pilihan kaum wanita untuk digayakan. Bezanya,
rekaan baju kurung sekarang lebih kontemporari tetapi masih mengekalkan
ciri-ciri keasliannya.
Selain terdapat perubahan pada potongan dan bentuknya, untuk
menghasilkan rekaan yang lebih moden dan kreatif, baju kurung juga
dihiasi dengan sulaman, kerawang, manik mahupun labuci. Material untuk
menghasilkan baju kurung juga turut berubah. Kini, terdapat pelbagai
pilihan material antaranya satin, organza, chiffon, sutera, batik, linen
dan banyak lagi. Perubahan ini dilakukan untuk disesuaikan dengan
keadaan semasa atau majlis yang hendak dihadiri selain cuba meniru gaya
potongan asing yang mungkin bertujuan untuk kelihatan lebih anggun. Kini
terdapat pelbagai variasi baju kurung dan ia dikenali sebagai Baju
Kurung Moden.
Walaupun baju kurung telah mengalami evolusi selaras dengan perubahan
masa dan citarasa pemakai, namun rekaannya masih sama. Ia tetap selesa
dan manis dipakai selain menampakkan kesopanan gadis Timur dan
keunggulan budaya Melayu.
Baju Kurung Teluk Belanga
Baju Kurung Teluk Belanga atau Baju Kurung Johor mula diperkenalkan semasa pemerintahan Almarhum
Sultan Abu Bakar tatkala Almarhum bersemanyam di Teluk Belanga Singapura dan berpindah ke Tanjung Puteri pada tahun 1866 (kini dikenali
Johor Bahru).
Almarhum menetapkan supaya baju perempuan labuhnya hingga bawah lutut
dengan alas lehernya halus dan tidak berkocek. Terdapat berbagai bentuk
sulaman yang dipadankan pada bahagian leher seperti mata lalat, tulang
belut dan insang pari. Semasa pemerintahan Almarhum
Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar pakaian tersebut telah diubah mengikut cadangan Allahyarham
Jaafar bin Haji Muhammad,
Menteri Besar Johor Pertama, satu kocek pada baju perempuan. Hari ini,
Baju Kurung Teluk Belanga menjadi sinonim dengan baju kurung tradisional
yang standard. Ia mengenakan kain yang disusun di sebelah kiri.
Baju Kurung Cekak Musang
Baju Kurung Cekak Musang adalah sama dengan Baju Kurung Teluk Belanga
kecuali pada bahagian lehernya. Leher Baju Kurung Cekak Musang ada
kolar. Kolar tersebut hanya selebar satu jari dan kedudukannya menegak.
Pada bahagian hadapan kolar ada bukaan panjang yang berkancing. Potongan
baju ini dipercayai menerima pengaruh dari
India dan
China.
Baju Kurung Kedah
Baju Kurung
Kedah dipercayai berasal dari Selatan
Thai,
kerana baju tersebut menyerupai blaus pendek dibuat singkat sampai ke
paras punggung di selatan Thai. Baju Kurung Kedah terdiri daripada baju
yang longgar dan diperbuat daripada kain cita (kapas) yang berbunga
kecil ataupun kain kasa tebal atau nipis yang jarang serta potongan
leher bujur sireh. Baju Kurung Kedah dipakai bersama kain sarung. Kain
sarung
diikat ambak mengalur dan di masuk sebelah kiri atau kanan. Baju Kedah
boleh disifatkan sebagai pakaian seharian atau pakaian basahan.
Baju Kurung Melaka
Pakaian tradisional wanita Melayu
Melaka
pula selesa mengenakan baju kurung teluk belanga dengan mempunyai
hiasan dada dihiiasi sibar layang dari baldu bertekad manik dan labuci.
Baju Kurung Pahang
Baju Kurung Pahang atau dikenali sabagai Baju Kurung Riau Pahang pula
menyingkap pertalian sejarah antara kedua negeri Riau dan Pahang.
Walaupun
Riau dan
Pahang
adalah dua buah negeri yang berjauhan, perhubungan politik dan sosial
budaya yang terjalin sewaktu zaman kerajaan Melayu Melaka terserlah
dengan terciptanya potongan pakaian ini yang juga dikenali sebagai Baju
Belah atau Baju Kebaya
Turki.
Berbeza dengan pesak baju kurung, kedua-dua bahagian tepi Baju Kurung
Riau Pahang berpesak kembang yang disambungkan kekek gantung. Baju
berkolar tinggi ini amat menarik sekali dipakai dengan tujuh atau
sembilan butir butang.
No comments:
Post a Comment